Search This Blog

Wednesday, 9 May 2012

Sudut Pandangan


1. Sudut pandangan berperanan untuk mengisahkan sesuatu cerita dan menjelaskan pihak yang menceritakan sesuatu kisah. Maka sudut pandangan mempunyai hubungan yang erat dengan watak.

2. Menurut Anwar Ridhwan (1985), sudut pandangan ialah cara bagaimana pembaca dihidangkan dengan bahan cerita atau bagaimana pengarang memilih cara yang terbaik untuk menyampaikan ceritanya.


Teknik sudut pandangan:


Sudut pandangan orang, pertama

Pengarang bercerita sendiri atau terlibat dalam cerita sebagai watak utama atau watak sampingan. Sudut pandangan ini disebut sebagai gaya aku, iaitu cerita itu dibawakan seluruhnya oleh watak aku, orang pertama, secara subjektif. Maknanya pengarang terlibat secara aktif. Teknik ini digunakan untuk menjadikan cerita lebih realistik.

Sudut pandangan orang ketiga tidak terbatas


Kerap digunakan oleh pengarang yang mengisahkan ceritanya melalui watak lain menggunakan kata ganti nama diri ketiga, iaitu dia dan mereka atau lengkap dengan nama. Pengarang bersikap serba tahu dan bebas bercerita untuk mengemukakan emosi, fikiran, dan pergolakan jiwa watak-watak.


Sudut pandangan orang ketiga terbatas


Pengarang tidak menceritakan semua peristiwa atau watak tetapi hanya akan memilih watak-watak tertentu dan penceritaannya tertumpu kepada mereka. Watak-watak lain diceritakan serba sedikit sahaja.


Sudut pandangan objektif

Pengarang hanya menceritakan segala sesuatu yang dilihat dan didengarnya (melapor) dan masih menggunakan kata ganti nama diri ketiga. Bezanya pengarang tidak terlibat dalam cerita. Maka pembaca berpeluang membuat penilaian sendiri terhadap cerita tersebut.

No comments:

Post a Comment